Sunday, 29 May 2011

Manfaatkan cuti sekolah ini bersama insan tersayang ...

Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera ....

Masa berlalu begitu pantas sekali. Tahun 2011 sudah sampai ke pertengahannya. Cuti persekolahan yang bermula pada 28 Mei hingga 12 Jun 2011 amat dinanti-nantikan oleh anak-anak kita. Bagi mereka cuti sekolah merupakan satu rahmat yang amat besar yang tidak akan dilepaskan untuk berehat dan bercuti bersama keluarga tersayang. Walaupun kita sibuk dengan pelbagai tugasan di pejabat namun janganlah kita lupa dan alpa untuk memanfaatkan masa senggang kita bersama anak-anak tersayang ......

Sudah pasti kita sudah ada pelbagai perancangan untuk cuti persekolahan kali ini. Paling penting dan utama ialah luangkan masa yang berkualiti bersama dengan insan tersayang. Dan jangan lupa pastikan bajet kita benar-benar telah diatur dengan teliti. Bagi yang ingin menghala ke destinasi ke selatan tanahair terutamanya ke Melaka Bandaraya Bersejarah, kami di BarakahGroup2u KampungStay mengucapkan "SEMOGA SELAMAT SAMPAI KE DESTINASI DAN BERHATI-HATILAH KETIKA MEMANDU".

Bagi para pengunjung BarakahGroup2u KampungStay, terima kasih kerana sudi berkunjung dan bermalam di sini. Insya Allah, kami akan memberikan kemudahan dan keselesaan kepada anda agar anda berpuas hati dengan perkhidmatan kami. 
Semoga kita bertemu kembali di lain waktu .....

Friday, 27 May 2011

SELAMAT DATANG KE MELAKA

          Kegemilangan Empayar Kesultanan Melayu Melaka telah tercatat dalam sejarah sejak 600 tahun dahulu. Melaka telah dibuka oleh seorang raja bernama Parameswara dari Sumatera, Indonesia pada kurun ke 15 yang kemudiannya dibangunkan dan terkenal sebagai pusat perdagangan rempah di kalangan pedagang Jawa, Cina, India dan Arab.

          Kegemilangan dan kekayaan Melaka pada ketika itu telah menarik minat bangsa Eropah untuk datang ke rantau ini. Maka pada tahun 1511, Portugis telah menawan Melaka untuk menguasai perdagangan rantau ini selama 130 tahun. Pada tahun 1641, Belanda pula telah mengambil alih Melaka dari Portugis dengan Batavia ( Jakarta ) sebagai pusat pemerintahannya dan menjajah Melaka selama 150 tahun. Kemudian pada tahun 1824, Belanda telah menyerahkan Melaka dengan British sebagai pertukaran dengan Bencoolen, Indonesia dan hingga tahun 1914, British secara langsung atau tidak langsung telah mewujudkan satu kolononial di Tanah Melayu yang akhirnya membentuk Malaysia. Perang Dunia Ke-2 telah menamatkan pemerintahan British di Tanah Melayu. 

          Melawat Melaka menjadi satu kemestian kepada pelancong tempatan dan juga asing. Tempat-tempat bersejarah seperti Memorial Kemerdekaan, Kota A Famosa, Makam Hang Tuah, Perigi Hang Li Poh, Makam Hang Jebat, Masjid Kampung Hulu, Masjid Kampung Keling, Masjid Tengkera, The Stadthuys, Replika Istana Kesultanan Melaka dan banyak lagi menjadi tarikan utama pelancong ke Melaka. Tidak ketinggalan juga Menara Taming Sari, River Cruise, Taman Botanikal, Zoo Melaka, Taman Mini Malaysia, Melaka River Pirate Park dan banyak lagi untuk dikunjungi oleh para pelancong.

          Kekayaan budaya Melaka datangnya dari kepelbagaian kaum dan etnik yang bangga dan mengamalkan adat resam nenek moyang mereka sejak ratusan tahun dahulu. Melaka merupakan sebuah negeri pelbagai kaum yang hidup secara aman dan bertoleransi antara satu sama lain yang terdiri daripada Melayu, Cina, India, Baba-Nyonya dan Chetty.

          Kami di BarakahGroup2u KampungStay mengalu-alukan kedatangan anda ke Melaka kerana "Melawat Melaka Bererti Melawat Malaysia".  Semoga kita berjumpa di Melaka, Bandar Warisan Dunia UNESCO.